Sebanyak 2.2 tan daun ketum dan 330 botol ubat batuk berjaya dirampas pasukan Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dalam tempoh tiga hari mengawasi sempadan negara.

Ia merupakan rampasan tertinggi yang direkodkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM71,220.

Dalam kes pertama pada Ahad, PGA Briged Utara menyerbu sebuah rumah di Kampung Kolam, dekat sini, pada jam 3.55 pagi sebaik menerima maklumat.

Menurut Komander PGA Briged Utara SAC Abdul Ghani Mohd Ji, rumah tersebut dijadikan port untuk transit daun ketum sebelum bahan itu diseludup ke negara jiran

"Setibanya di lokasi, pasukan PGA meninjau kawasan sekeliling rumah selama 30 minit dan mendapati ia tidak berpenghuni, lalu bertindak memecahkan pintunya.

"Hasilnya, kami temui 43 guni putih mengandungi daun ketum dan 330 botol ubat batuk, masing-masing bernilai RM38,700 dan RM2,970, yang diletakkan di bahagian dapur," katanya.

Foto ihsan PGA

Sementara itu, dalam tiga serbuan lain, pihaknya merampas sejumlah daun ketum di beberapa kawasan sekitar tembok sempadan Malaysia-Thailand, dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

Pada 2 Mac lalu, sebanyak 140 kilogram daun ketum bernilai RM4,200 dirampas selepas pasukan PGA menerima maklumat berhubung pergerakan yang mencurigakan sekitar tembok sempadan.

Manakala dalam dua operasi terbaru, pihaknya merampas sebanyak 845 kilogram daun ketum bernilai RM25,350 di kawasan kebun dan pondok berhampiran sempadan.



Katanya, kesemua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


Foto ihsan PGA