Pembinaan Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang terbengkalai sejak beberapa tahun lalu kini di tahap kemajuan kerja 70 peratus.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, dari pembentangan kertas putih Felda, kerajaan juga meluluskan peruntukan geran sebanyak RM250 juta untuk menyiapkan 20 tapak projek perumahan PGBF.

Menurut beliau, daripada sasaran 20,000 unit pada 2013, 606 unit akan diserahkan Disember ini manakala 2,436 unit akan disiapkan secara berperingkat pada tahun depan.

“Daripada jumlah itu 1,070 unit rumah iaitu 63 peratus telah serah kunci dan 628 unit rumah dalam proses serah kepada peserta manakala 11 projek melibatkan 3,096 rumah dalam pembinaan," katanya.

Dr Mohd Radzi berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Hasan Bahrom (PH - Tampin) yang meminta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menyatakan sejauh manakah kemajuan yang telah dilakukan oleh kementerian dalam proses membaik pulih perumahan generasi kedua FELDA yang terbengkalai.

Kata Dr Mohd Radzi, sebanyak 606 unit dijangka disiapkan dan diserahkan pada Disember 2019 dan baki 2,436 unit akan disapkan secara berperingkat pada 2020.

Tambah beliau, usaha menyiapakan rumah terbengkalai ini dengan tumpuan menyiapkan PGBF di tahap kemajuan 70 peratus ke atas.

Ujarnya, satu pengukur penilaian prestasi telah dilaksanakan untuk membantu Felda menyediakan pelan tindakan mampan untuk menyelesaikan masalah ini.

Semasa pembentangan Bajet 2013, sasaran PGBF dibuat dengan sasaran 20,000 unit dalam tempoh lima tahun dan FELDA akan menerima 1.5 bilion ringgit.

Namun sehingga 2017, FELDA hanya menerima RM200 juta untuk menyiapkan projek perumahan ini.