Kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf Sabah sebagai rakan kongsi sama rata dalam Malaysia.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebelum ini kerajaan di bawah Barisan Nasional gagal mengiktiraf Sabah sebagai 'equal partner' dalam Malaysia.

Bagaimanapun, menurut timbalan presiden PKR itu, di bawah kerajaan yang baharu, Sabah terus mendapat pembelaan serta hak yang sepatutnya milik negeri itu akan dikembalikan.

Jelasnya, pengiktirafan itu adalah selaras dengan apa yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963, ketika Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia atau Malaya pada ketika itu bersetuju untuk bersama-sama membentuk Malaysia.

"Tanpa Sabah, tidak akan ada Malaysia. Tahniah saya ucapkan kepada rakyat Sabah.

"Dan oleh sebab itulah kerajaan Pakatan Harapan mengisytiharkan bahawa Sabah adalah rakan kongsi kita dan rakyat di negeri ini sepatutnya mendapat hak yang sama di kalangan negeri-negeri dalam Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian bagi Majlis Makan Malam Sempena Hari Malaysia, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, yang juga calon Timbalan Presiden, pada pemilihan PKR kali ini, turut menyeru kepimpinan peringkat negeri agar terus berusaha memperkukuhkan parti supaya mampu bertapak dengan lebih kuat di Sabah.

Tegasnya, PKR bukan setakat sebahagian dalam Kerajaan Negeri Sabah tetapi ia merupakan parti yang kuat di negeri ini.

Justeru, tambahnya, semua ahli dan pemimpin terutamanya harus melaksanakan tanggungjawab sebaiknya agar PKR terus dihormati oleh rakyat Sabah.