SHAH ALAM:Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) telah menubuhkan pasukan petugas dan bersedia mengedarkan vaksin COVID-19 ke seluruh negara yang dijangka boleh didapati pada suku pertama tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa kerajaan telah memeterai perjanjian untuk membeli vaksin COVID-19 Pfizer bagi meliputi sejumlah 6.4 juta penduduk Malaysia.

Beliau berkata anak syarikat milik penuh Pharmaniaga iaitu Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam logistik dan pengedaran vaksin meliputi syarat suhu di bawah 20 darjah Celsius dan 2 hingga 8 darjah Celsius selain akan memberikan keutamaan kepada pematuhan syarat suhu bagi vaksin COVID-19 yang akan tiba dalam usaha memastikan kualiti, keselamatan serta keberkesanannya dapat dikekalkan.

"Pengangkutan vaksin bukan seperti ubat-ubatan lain kerana sebarang pelanggaran suhu di luar daripada tahap yang ditetapkan akan menjejaskan keberkesanannya. Bagi menguruskan perkara ini, terutama dengan cabaran penghantaran ke kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak, Pharmaniaga telah menyempurnakan medium serta proses pengangkutan bagi memenuhi syarat Amalan Pengedaran Baik (GDP).

"Setiap kotak akan ditutup dengan peranti pemantau suhu yang membolehkan pelanggan memastikan pematuhan suhu. Selain itu, kenderaan penghantaran dilengkapi peranti Internet Benda (IOT) yang membolehkan kita memantau pergerakan kenderaan tersebut, masa ketibaan dan suhu.

"Kami mengambil maklum bahawa vaksin Pfizer memerlukan suhu ultra sejuk di bawah 70 darjah Celsius, oleh itu, jarum suntikan pra-isian beku akan dihantar dalam pengangkut termal yang diisi penuh dengan ais kering bagi mengekalkan suhu ultra sejuk," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkarnain berkata terdapat pengeluar vaksin COVID-19 lain seperti Moderna Inc yang menetapkan syarat pematuhan suhu di bawah 20 darjah Celsius.

"Majoriti pengeluar vaksin lain telah mengumumkan syarat suhu standard pada 2 hingga 8 darjah Celsius. Ini mewujudkan keperluan agar jumlah vaksin yang besar diuruskan bersesuaian dengan pematuhan syarat GDP dan spesifikasi yang ditetapkan pengeluar vaksin," katanya. BACA: Vaksin COVID-19 percuma untuk rakyat Malaysia - PM



Beliau juga berkata gudang Pharmaniaga di Bukit Raja Shah Alam, Juru, Kota Kinabalu dan Kuching ketika ini mempunyai rantaian kemudahan sejuk beku dengan sistem pemantauan alam sekitar serta kuasa sokongan bagi memastikan vaksin adalah selamat digunakan.

BACA: Kerajaan akan pastikan vaksin selamat, berkesan, stabil





"Selain itu, kesemua gudang ini telah dilesenkan bagi menangani rantaian produk sejuk beku oleh Agensi Regularotari Farmasi Negara (NPRA) dan kemudahan itu dipertingkat secara berterusan.

"Kami mengambil maklum kemungkinan stor-stor hospital bakal berdepan kekangan jika jumlah vaksin COVID-19 yang besar tiba melebihi kapasiti penyimpanan mereka.



"Dalam aspek ini, Pharmaniaga melihat kepada sistem penghantaran berasaskan Just-in-Time (JIT) bagi memastikan penambahan stok pemvaksinan berjalan lancar dan teratur," katanya.