Pihak berkepentingan perlu memahami sepenuhnya keperluan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ini, katanya, termasuk mengambil perhatian tentang kedudukan negara, rantau dan sektor masing-masing dalam usaha untuk mencapai kesemua 17 SDG ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kerajaan, menurutnya, komited untuk memastikan keseimbangan antara merealisasikan aspirasinya untuk menjadi negara maju dan memenuhi permintaan bagi kemampanan, walaupun berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk mematuhi komitmen antarabangsa dan pelbagai hala.

"Di samping itu, walaupun kami komited untuk melaksanakan SDG, kami juga bimbang dengan faktor luar yang akan menjejaskan pertumbuhan, seperti perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China, ketidaktentuan perdagangan global serta perkembangan geopolitik yang mendatangkan kesan teruk di rantau ini," kata Mohamed Azmin dalam ucapan pada Sidang Kemuncak SDG 2019 di sini, hari ini.

Katanya, sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara bagi tempoh kira-kira satu tahun setengah, kerajaan telah melaksanakan pembaharuan keinstitusian yang juga selaras dengan No.16 SDG iaitu mewujudkan pelbagai Institusi Aman, Adil dan Kukuh.

"Usaha kami telah diiktiraf sebagai perubahan paling ketara dalam dasar awam Malaysia berbanding pentadbiran terdahulu," katanya.

Kerajaan, katanya telah mengambil pendekatan holistik dalam membasmi kemiskinan dengan memberi tumpuan pada penjagaan kesihatan, perumahan dan pendidikan, selaras dengan No.1 SDG untuk menghapuskan kemiskinan dalam semua bentuk di mana-mana sahaja, kerana ketiga-tiga perkara itu merupakan bidang utama yang memberi kesan terhadap kumpulan B40.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan akan memperkukuh asas ekonomi negara untuk merangsang pertumbuhan kukuh bagi meningkatkan kuasa membeli rakyat dan menyediakan standard kehidupan wajar menjelang 2030.

''Berikutan satu daripada kriteria asas untuk memenuhi SDG adalah penyediaan perumahan mampu dimiliki, satu pendekatan bersepadu telah diambil untuk menyediakan persekitaran kehidupan selesa, selamat, berdaya tahan dan mampan," kata Mohamed Azmin.

Bagi mengukur garis kemiskinan, beliau berkata, kerajaan telah mengambil pendekatan menyeluruh dengan pengenalan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11.

Azmin menegaskan, persoalan kemampanan dalam pembangunan juga perlu melibatkan langkah bagi memastikan jaminan makanan untuk negara secara menyeluruh.

"Bagaimanapun, bil import makanan Malaysia ketika ini, yang pada tahun 2018 lebih RM50 bilion, jelas tidak selaras bagi usaha untuk mencapai sara diri dalam pengeluaran makanan.

"Oleh itu, percubaan awal perlu dilakukan untuk meminimumkan import makanan dan menterbalikkan trend itu, dengan langkah-langkah untuk meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan membangunkan modal insan yang baharu bagi mendapatkan tahap pengeluaran yang optimum," katanya.

Bertemakan "Pencepatan Kemajuan SDG: Pendekatan Seluruh Negara", sidang kemuncak dua hari itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia.

Sidang kemuncak itu, yang akan berakhir esok telah menarik lebih 2,000 peserta.

Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2019 bertujuan mengkaji semula kemajuan SDG di negara ini dan berkongsi amalan terbaik, menyediakan platform pelbagai pihak berkepentingan untuk mengenal pasti strategi dalam usaha untuk menangani isu mendesak utama. - BERNAMA