Pil gugur janin tidak dibenar dijual di pasaran Malaysia

Pil gugur janin tidak dibenar dijual di pasaran Malaysia
Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan yang dijual secara dalam talian. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Susulan penjualan pil gugur janin yang dilaporkan semakin serius, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan, produk Misoprostol dan Mifepristone yang dijual dalam talian adalah tidak berdaftar dan tidak dibenarkan dijual di pasaran Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, pihaknya telah melakukan 16 serbuan melibatkan dua produk berkenaan dengan nilai rampasan RM97,578.

"Serbuan ini telah dilaksanakan susulan aktiviti risikan forensik siber yang rumit dan rapi, mengikut prosedur dan undang-undang sedia ada. Bagi mengelakkan aktiviti penjualan dapat dikesan oleh pihak berkuasa, modus operandi yang digunakan bagi penjualan produk ini adalah menggunakan medium internet, aplikasi komunikasi internet dan platform edagang," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia serta media sosial dalam mengambil tindakan menyenarai hitam penjual yang menjual produk berkenaan di platform mereka.

Dari tahun 2016 hingga kini, sebanyak 225 laman sesawang telah dipantau dan diprofil, daripada jumlah tersebut, 98 laman web telah dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Facebook, Twitter dan YouTube untuk tindakan penutupan.

"Sumber pembekalan produk farmaseutikal yang tidak berdaftar disyaki diperolehi secara haram di dalam negara dan melalui pembelian secara dalam talian dan penyeludupan dari negara luar. Penghantaran pil Misoprostol kepada pembeli adalah menggunakan perkhidmatan pos dan kurier. Penjual menggunakan identiti palsu dan alamat tempat penjualan palsu," ujarnya lagi.

Penjualan produk-produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan yang dijual secara dalam talian, tidak mudah terpedaya dengan iklan dan maklumat yang disiarkan serta memastikan produk-produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.

Tag: Noor Hisham Abdullah, Dr Noor Hisham Abdullah, Facebook, Twitter, YouTube, 2016, SKMM, Media, media sosial, Kementerian Kesihatan, pil gugur, Malaysia, haram, undang-undang, penjara


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.