Rakyat Malaysia diseru untuk memilih pemerintah yang boleh menjaga kesucian pelbagai agama serta memberi komitmen yang tinggi dalam membawa kejayaan kepada negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jika rakyat memilih pemerintah yang tidak ada komitmen apatah lagi pemerintah yang anti-Islam maka rakyat akan menerima akibat yang amat buruk.

"Sebab itulah apabila kita berdepan dengan pilihan raya umpamanya, inilah masa kita tentukan soal pemerintahan, soal kepimpinan kerana dalam Islam, pemerintahan itu tidak boleh dipisahkan dengan Islam.

"Kalau kita nak jaga Islam, kita mesti jaga pemerintahannya sebab kalau kita pilih pemerintah yang tidak ada komitmen, ataupun lemah komitmen apatah lagi anti-Islam, maka akibatnya amat buruk. Jadi fikirlah sebaik-baiknya," katanya pada Program Ziarah Solat Isya' Berjemaah bersama penduduk Taman Sukma di sini hari ini.

Tegas Najib, prinsip yang paling penting dalam memilih pemerintah adalah untuk memilih pemerintah yang sentiasa mementingkan agama Islam, kepentingan ummah serta berdasarkan kepada maqasid syariah.

"Bila kita buat sekolah, tidak kira sekolah agama, atau tahfiz, sekolah kebangsaan, itu juga maqasid sebab pembinaan minda itu adalah maqasid syariah. Menjaga keturunan bermakna menjaga keamanan itu juga maqasid syariah.

"Sebab itu salah satu punca segala-galanya kuasa pemerintahan. Pemerintahan itulah yang menentukan kejayaan," tegas Najib.

Mengulas berkenaan kebebasan beragama di Sarawak, Najib berkata walaupun terdapat pelbagai agama dan etnik, penduduk di Sarawak dapat mengamalkan kepercayaan masing-masing dengan aman.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan calon Barisan Nasional (BN) N07 Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.