Naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati dengan 'taju' atau umpan yang dipasang pihak pembangkang kerana ia boleh merosakkan masa depan mereka.

Menurut kepercayaan masyarakat Iban pada zaman dahulu, mereka tidak boleh menyentuh 'taju remaung' jika terjumpanya di dalam kerana jika disentuh 'taju remaung' itu, mereka akan terkena badi dan akan mati.

'Taju' adalah umpan yang dipasang oleh 'remaung' atau harimau jadian dalam bahasa Iban dan ia datang dalam pelbagai bentuk yang boleh menarik manusia seperti longgokan durian dan siapa yang menyentuh atau memakannya akan pasti diburu harimau jadian itu dan mati.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Transformasi Pekebun Kecil Anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Rumah Juckine Saing, Nanga Jagoi di Kanowit, 63km dari sini, hari ini.

Katanya ada segolongan daripada penduduk itu tidak mahu tanah hak adat (NCR) mereka diukur di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak dan mereka mendakwa mereka tidak diberitahu mengenai keperluan tanah itu diukur.

Bagaimanapun, Uggah berkata rekod Jabatan Tanah dan Survei Sarawak menunjukkan mereka telah diberitahu, diterangkan dan faham mengenai Seksyen 6 itu.

Sebenarnya golongan ini telah dimomokkan kononnya kerajaan akan merampas tanah mereka menggunakan Seksyen 6 itu, walhal sebenarnya tidak.

"Jabatan Tanah dan Survei Sarawak tiada masalah jika mereka mahu keluar dari warta Seksyen 6 itu namun apabila sudah keluar, tanah mereka tidak dapat diukur di bawah Seksyen 18.

"Sekiranya ada program pembangunan di atas tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 6, mereka akan ketinggalan dan ini merugikan mereka. Oleh yang demikian berfikirlah sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Uggah, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, perkara itu menyedihkan kerana ada dalam kalangan petani yang terlibat itu sudah berjaya dalam kegiatan pertanian mereka hasil bantuan yang diberikan kerajaan.

Uggah berkata kementerian beliau melalui agensi seperti Lembaga Getah Malaysia, Lembaga Lada Malaysia dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia telah meluluskan banyak bantuan subsidi bagi membantu rakyat di luar bandar.

Tujuan bantuan subsidi dari segi baja umpamanya adalah untuk membantu pekebun kecil di luar bandar yang tergolong dalam kumpulan B40 (isi rumah dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855) supaya dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi DUN Bukit Saban pada Pilihan Raya Negeri Sarawakke-11 (PRN-11) pada 7 Mei ini, berkata kerajaan memerlukan mereka yang telah menerima bantuan subsidi itu dan berjaya untuk bersama-sama membantu para pekebun-pekebun kecil yang masih belum berjaya.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi PBB Cawangan Machan, Datuk Gramong Juna dan anaknya, yang juga calon BN kerusi DUN Machan, Allan Siden Gramong.

Pada pilihan raya ini, Uggah menghadapi dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon PKR, Noel Changgai Bucking manakala Allan Siden dalam dalam pertandingan tiga penjuru dengan calon PKR, Chen Nguk Fa dan calon Bebas, Semawi ak Paung.