Pimpinan Tertinggi Barisan Nasional akan campur tangan dalam krisis dalaman MIC berikutan bimbang kemelut bakal menjejaskan parti.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu penting memandangkan kemelut melibatkan parti komponen BN itu semakin tidak terkawal dan seakan tiada penyelesaian.

"Saya memandang serius tentang apa yang berlaku dalam parti MIC sebagai satu komponen penting dalam BN. MIC menghadapi krisis seperti ini pastinya ia menjejaskan MIC dan juga BN tapi yang penting untuk kekalkan sokongan rakyat terhadap BN lebih lagi orang India yakin terhadap parti itu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Menara Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Tegasnya, kepimpinan dalam MIC adalah perkara paling penting dalam memastikan tidak berlaku kemelut dalaman seumpama itu.

"Saya lihat agaknya Presiden parti sudah tidak berapa fokus, bukan nak kritik... hingga cetus perkara yang luar kawalan. Ini pastinya tidak baik,"

"Jadi pertamanya, saya percaya ialah lihat semula pada apa yang ROS telah cadangkan supaya dilaksanakan oleh parti itu. Mesyuarat2 bahagian tertentu yang katanya diadakan, namun dengan keadaan yang sudah tercetus ini, kita perlu campur tangan,"jelasnya.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin tertinggi MIC akan dipanggil dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut yang melanda MIC daripada terus menemui jalan buntu.

"Maksud, kita nasihat, tapi kalau contoh kata perlu ada pemilihan semula, dan lain2 kita nak lihat apa yang ditetapkan dalam perlembagaan parti bukan luar perlembagaan parti. Kita akan lihat perkara itu dan bincang dengan pemimpin mereka," ujar beliau.

Justeru, beliau berharap semua pihak kembali bertenang dan kembali bersatu membentuk sebuah parti yang kukuh.

"Saya harap atas semangat setia kawan dan hasrat untuk baiki keadaan, semua pihak mesti bertenang lebih-lebih lagi ada peristiwa ugutan, ini tak gambar perkara yang baik kepada imej parti sama ada dalam atau luar campurtangan ia cetus ketegangan,"

"Kita perlu lakukan sesuatu dan saya telah bincang Perdana Menteri semalam, kita akan buat apa perlu supaya kita kembali kukuh sebagai sebuah parti," tambahnya.