Beberapa akta berkaitan pembalakan dan pencerobohan hutan akan dirombak semula bagi mengekang aktiviti pembalakan haram yang semakin berleluasa di negara ini, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Ir Hamim Samuri.

Hamim, yang juga anggota Parlimen Ledang, memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa akta-akta tersebut perlu diperhalusi khususnya bagi memperinci peruntukan mengenai tindakan penguatkuasaan yang terletak di bawah bidang kuasa negeri, dan dalam senarai bersama Persekutuan dan Negeri di bawah Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

"Perlu ada rombakan ke atas segala akta (berkaitan) yang sedia ada, kerana kalau dulu akta itu boleh dikuatkuasakan, tetapi masa sudah berlalu, dan orang ramai semakin pandai, peguam semakin pandai, maka akta terpaksa dirombak.

"Walaupun kita ada akta, tapi kuasa (penguatkuasaan) masih di peringkat negeri, kecuali Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, itu di bawah senarai bersama yang mana kita boleh kenakan peraturan atau undang-undang bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

"Itu pun perlukan rombakan, supaya segala permasalahan yang dibangkitkan tadi, dapat diatasi," katanya sewaktu menggulung Rang Undang-undang Pembekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, di sini Selasa malam.

Terdahulu, beberapa anggota Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengusulkan kerajaan mencari jalan untuk mengekang aktiviti pembalakan haram yang dilihat semakin berleluasa dan tidak takut kepada penguatkuasaan di bawah akta sedia ada.

Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) membangkitkan isu pembalakan di Merapoh, Pahang, yang didakwa telah jauh melebihi keluasan yang dibenarkan iaitu 100 ekar (40.4 hektar)

Beliau menarik perhatian bahawa hutan itu menyimpan khazanah dunia kerana usia pokok-pokok di situ menjangkau ratusan juta tahun selain deretan gua batu kapur dan tempat habitat kepada flora unik menjadi tumpuan pelancong dan pencinta alam sekitar.

"Kerajaan harus bertindak menghentikan pembalakan di kawasan itu dulu sebelum merombak akta-akta sedia ada," katanya.

Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) pula berkata arahan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk mengenakan perintah moratorium bagi mengawal aktiviti perlombongan bauksit menunjukkan Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk menghentikan sebarang aktiviti yang dilihat mampu menimbulkan kerosakan kepada alam sekitar serta masyarakat di sekeliling.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) berkata, tidak sepatutnya kerajaan mengambil jalan mudah mengatakan kuasa menghalang berada di tangan kerajaan negeri kerana isu pembalakan haram ini merupakan kepentingan bersama.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari ini.

-- BERNAMA