Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berharap undang-undang berkaitan rasuah akan disemak secara menyeluruh bagi membolehkan jenayah rasuah dapat ditangani dengan berkesan dan holistik.

Berucap pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas menerima Ijazah Doktor Kehormat di sini hari ini, beliau berkata, beberapa pindaan dan peruntukan baharu perlu diadakan bagi membolehkan SPRM menangani kes-kes rasuah dengan berkesan.

SPRM yang menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) diwujudkan sebagai sebuah suruhanjaya bebas pada Januari 2009.

"Bukan SPRM tidak mahu menyiasat setiap maklumat atau aduan atau kes-kes di luar daripada SPRM, tetapi SPRM tidak boleh bertindak di luar semangat Akta SPRM. Ini kerana bukan setiap maklumat atau aduan yang diterima oleh SPRM mempunyai unsur rasuah.

"Saya mengakui harapan orang ramai ke atas SPRM semakin tinggi. Oleh itu, sudah tiba masa bagi negara melihat semula kerangka undang-undang yang menyeluruh bagi menangani isu rasuah," kata beliau dalam ucapan balas pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UiTM pagi ini.

Ijazah Doktor Kehormat disampaikan oleh Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub.

Kata beliau, "kita tidak boleh berpuas hati dengan peruntukan sedia ada manakala jenayah rasuah pula menjadi semakin sopistikated dan semakin kompleks."

Justeru katanya, pemerkasaan undang-undang rasuah wajar dilaksanakan melalui proses perubahan, penambahbaikan dan pematangan.

"Malah, beberapa pindaan undang-undang telah disyorkan kepada kerajaan bagi menjadikan SPRM lebih berkesan," katanya.

Abu Kassim memberitahu, terdapat sesetengah pihak yang mahu SPRM menyiasat dan mengambil tindakan ke atas setiap aduan.

"Selain dari rasuah, mereka juga meminta SPRM menyiasat kes pembaziran, penipuan, pecah amanah, salah urus dan sebagainya. Bagi saya, ini situasi antara tidak mahu dan tidak boleh lakukan," katanya.

"Bukan SPRM tidak mahu menyiasat setiap maklumat atau aduan atau kes-kes di luar daripada SPRM, tetapi SPRM tidak boleh bertindak di luar semangat Akta SPRM. Ini kerana bukan setiap maklumat atau aduan yang diterima oleh SPRM mempunyai unsur rasuah," katanya.

Antara pindaan yang disyorkan oleh SPRM sebelum ini ialah Seksyen 23 dan 36 Akta SPRM 2009. Selain itu, turut disyorkan ialah peruntukan 'misconduct in public office' dan liabiliti korporat.

Abu Kassim, persoalan yang turut dibangkitkan ialah sama ada SPRM mempunyai kuasa untuk menyiasat mana-mana individu yang dilihat hidup mewah atau di luar kemampuan sebenar seseorang.

"Ini adalah antara situasi yang masyarakat salah tafsir tentang kuasa SPRM. Ramai beranggapan, SPRM ada kuasa untuk terus meminta mana-mana individu mengisytiharkan harta mereka.

Tetapi berdasarkan undang-undang sedia ada, untuk membolehkan seseorang itu disiasat mengenai harta kekayaannya yang tidak boleh dijelaskan, mahkamah mahu SPRM ada alasan yang munasabah yang boleh dipercayai bahawa satu perlakuan rasuah telah berlaku.

"Ringkasnya SPRM tidak boleh mengarahkan mana-mana pihak mengisytiharkan harta sekiranya tiada kaitan dengan perbuatan rasuah.

"Sebagai pengamal undang-undang, kami sedia maklum bahawa perlakuan rasuah berbeza berbanding kes-kes jenayah yang lain. Malah, adalah penting bagi SPRM menjalankan tugasnya dalam batasan undang-undang dan mengikut undang-undang. Kuasa siasatan SPRM adalah terhad kepada kesalahan yang ditetapkan oleh undang-undang," kata beliau yang turut memetik kata-kata mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Abdul Hamid yang juga mantan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, badan bebas yang memantau perjalanan SPRM pernah berkata bahawa adalah penting bagi SPRM menjalankan tugasnya dalam batasan undang-undang dan mengikut undang-undang dan orang ramai tidak sepatutnya mengharapkan SPRM melakukan apa sahaja siasatan yang mereka ingin SPRM lakukan dan mendakwa sesiapa sahaja yang mereka mahu didakwa.

Dalam pada itu, Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, Abu Kassim diberi pengiktirafan ini atas sumbangan beliau dalam bidang pencegahan rasuah khususnya dalam aspek pembaharuan perundangan dan penambahbaikan yang dilakukan.

"Hari ini, UiTM juga mencatat sejarah sekali lagi, apabila menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kepada seorang tokoh Bumiputera yang strategis dan berintegriti tinggi dalam menerajui organisasi SPRM.

"Atas ketokohan dan kepakaran beliau yang diiktiraf di dalam dan luar negara, UiTM sangat berbesar hati untuk menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-undang kepada Tan Sri Abu Kassim," kata beliau.