Pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat bagi mengawal selia perkhidmatan Uber dan Grab menggunakan aplikasi e-hailing (e-panggilan) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pindaan Akta itu sekarang dalam proses penelitian perundangan Jabatan Peguam Negara.

"Kerajaan telah mengiktiraf perkhidmatan ini (e-hailing). Cuma, sekarang tiada undang-undang atau peraturan untuk perkhidmatan ini (Grab dan Uber).

"Apabila dipinda, e-hailing nanti perlu beroperasi tertakluk kepada peruntukan dan seliaan undang-undang seperti perkhidmatan sedia ada.

"Kami ambil kira pandangan daripada setiap agensi berkaitan dan saya dimaklumkan pindaan ini akan dibincangkan pada sidang Parlimen terdekat nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perbarisan tamat latihan Kursus Asas dan Induksi Pegawai Penguatkuasa SPAD di sini pada Jumaat.

Seramai 41 anggota penguatkuasa SPAD menyertai majlis berkenaan, yang turut dihadiri Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Major Jeneral (B) Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata pindaan terhadap Akta itu perlu supaya kerajaan dapat memastikan tiada percanggahan antara kedua-dua perkhidmatan tersebut dengan teksi.

Sementara itu, Che Hasni berkata SPAD akan memperhebatkan operasi dan penguatkuasaan sehingga musim perayaan Tahun Baharu Cina bagi memastikan pengusaha pengangkutan awam mematuhi peraturan selain mengekang berlakunya kemalangan di jalan raya.

"Kita akan laksanakan operasi bermula esok sehingga 1 Feb termasuk penugasan anggota selama 24 jam pada 27 Jan hingga 5 Feb depan. Anggota akan ditempatkan di beberapa kawasan termasuk di terminal bas, lapangan terbang, pusat bandar dan lebuh raya," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai membuat laporan terhadap pengendali dan pemandu kenderaan awam darat yang tidak berhemah serta tidak mematuhi peraturan, kepada SPAD melalui talian hotline 24 jam di 1800-88-7723 atau emel kepada [email protected]. -- Bernama