Pindaan rekaan termasuk memberi nilai tambah kepada rekaan logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang sebelum ini menerima kecaman daripada netizen akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Rashidi Hasbullah berkata kementerian tersebut kini masih dalam proses mendapatkan pandangan dan kelulusan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Logo itu dilancarkan pada 2018, di Chiangmai dan terdapat banyak pandangan daripada orang ramai.

“Kita sedang mendapatkan pandangan dan kelulusan Perdana Menteri sama ada logo yang telah direka itu boleh dipakai atau perlu sedikit pindaan.

“Keputusan itu akan dimaklumkan kepada media nanti," kata Rashidi dalam sidang media selepas majlis Pelepasan (Flag-off) konvoi Jelajah Harapan 2019 BMW Motorrad Club (Johor Bahru-Dubai) di Pusat Pelancongan Malaysia pada Sabtu.


Beliau juga berkata bahawa kementerian tersebut membuka penyertaan kepada orang ramai untuk memberi pandangan dalam menambah baik logo yang sedia ada.

Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dilancarkan bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Chiang Mai, Thailand sempena Asean Tourism pada awal tahun lalu menerima respon negatif daripada netizen.

Dalam pada itu, beliau berkata MOTAC menyasarkan seramai 28.1 juta pelancong antarabangsa akan berkunjung dan bercuti ke Malaysia pada tahun ini dengan penjanaan pendapatan pelancongan negara sebanyak RM92.2 bilion.

Jelajah Harapan 2019 (Johor Bahru-Dubai) merupakan inisiatif yang dilakukan oleh kementerian tersebut bersama BMW Motorrad Club Malaysia (MCM) bagi terus mempromosikan negara ini melalui jalan darat.






“Ramai orang ke Malaysia melalui laluan udara tetapi kita ingin mempromosikan laluan darat juga.

"Mereka akan bertemu dengan duta negara kita di luar negara dan akan berkongsi gambar sepanjang perjalanan mereka di laman media sosial.

“Jadi peserta Jelajah Harapan ini boleh membawa misi Malaysia dengan memperkenalkan Malaysia ke seluruh dunia," tambahnya.



Jelajah Harapan 2019 disertai enam penunggang motosikal berkuasa tinggi akan merentasi beberapa negara termasuk Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu dan Oman dengan melibatkan perjalanan sejauh 13,000 kilometer dan mengambil masa sebulan.