Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 (LCAB) bakal menjadi jalan penyelesaian ke atas isu pengiktirafan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Douglas Uggah Embas berkata, RUU itu meningkatkan pentadbiran tanah termasuk memperkukuh hak lindung ke atas tanah NCR itu sendiri.

"Surat hak milik tanah untuk NCR dapat dikeluarkan bagi sesuatu kawasan dikenali sebagai Native Territorial Domain (NTC)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang LCAB (Pindaan) 2018 di Persidangan DUN Sarawak hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa ‘hak usfruktuari’ turut diberikan untuk tanah yang didiami secara tradisi.

"NTC diberi kuasa undang-undang dan diiktiraf secara sah kerana menjadi hak milik kekal. Maka dokumen hak milik akan dikeluar kepada komuniti berkaitan bagi melindungi hak mereka," katanya.

Katanya, melalui LCAB 2018 hak tanah boleh dibuat oleh penduduk asal, melalui akses ke sesuatu kawasan berdekatan NCR.

Jelas Uggah, ia berdasarkan Seksyen 2 Kanun Tanah jika ‘hak usfruktuari’ yang dilaksanakan penduduk pribumi sebelum 1 Januari 1958.

Beliau juga berkata, istilah itu diambil daripada adat dan amalan yang akan diiktiraf secara undang-undang untuk mewujudkan hak pemilikan NTC.

Tambah Menteri Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu, hak berkenaan adalah sama seperti adat Pemakai Menoa dan Pulau Galau bagi masyarakat Iban.

Malah kini amalan tradisi tersebut diberi pengiktirafan di bawah istilah hak usfruktuari dan pemilikan NTC akan dikeluarkan kepada pemegang amanah oleh komuniti Bumiputera.