Pindaan pendaftaran pengundi secara automatik melibatkan warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas boleh dipinda bersekali dengan pindaan menurunkan had umur mengundi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata ini kerana pendaftaran pengundi automatik hanya melibatkan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
“Ia masih perlu dibawa ke Parlimen. Mengenai peraturan pilihan raya, walaupun ia di bawah kuasa saya, ia masih perlu dibentangkan di Parlimen.
“Ia tak perlu diluluskan, hanya dibentangkan di Parlimen,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.
Jelasnya, pada ketika ini, setiap warganegara Malaysia perlu mengemukakan permohonan pendaftaran pengundi menerusi Borang A.
Justeru, kata Azhar, sekiranya pendaftaran secara automatik dilaksanakan, pindaan harus dibuat terhadap peruntukan sedia ada.
Ditanya berkenaan rasional menurunkan had umur pengundi, Azhar menyifatkan beliau berkecuali berhubung perkara tersebut.
“Saya sebenarnya dalam perkara ini bersifat berkecuali, sebab segala pendapat, perbincangan atau debat mengenai perkara ini perlu dijalankan oleh pihak-pihak yang membuat polisi dan menggubal polisi bukan pihak saya.
“Jadi bukan tempat saya untuk beri pandangan seperti itu dan saya perlu berkecuali dalam hal ini,” katanya.