Seorang pemilik anjing menjadi orang pertama di Sarawak yang didapati melanggar undang-undang dan didenda RM500 kerana membawa seekor anjing tanpa permit daripada pihak berkuasa veterinar negeri keluar dari kawasan wabak rabies di sini ke Limbang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata lelaki itu didenda di bawah Seskyen 37(2) & (3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 kerana membawa seekor anjing melalui jalan udara ke Lawas dengan melakukan persinggahan di Miri pada 8 Okt lepas.

"Berikutan maklumat daripada ejen Malaysia Airlines dan orang ramai di Lawas, pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Lawas menahan lelaki itu selepas dia didapati tidak mempunyai permit untuk memindahkan anjing itu dari kawasan wabak rabies, kata Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu bersetuju untuk mendapatkan vaksin menerusi sumber luar untuk membantu mengekang penyebaran epidemik rabies sementara jabatan itu menambah 3,000 bebuli vaksin untuk Miri.

Katanya 28 lagi pembantu veterinar telah melaporkan diri untuk bertugas bagi mengukuhkan keupayaan jabatan itu.

Setakat hari ini, tiga kawasan baharu, Lapangan Terbang Miri dan Shin Yang Plywood Sdn Bhd, Kuala Baram di Miri juga Pejabat Kesihatan Daerah Dalat di Mukah diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies, katanya.

-- BERNAMA