Jumaah Majlis Diraja Johor menasihatkan orang ramai untuk menghentikan perbuatan mengiklankan menjual tanda kemuliaan dan kebesaran Johor melalui media sosial serta-merta.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli mengatakan bahawa majlis berkenaan memandang berat akan perkara ini kerana tanda kemuliaan berkenaan tidak sepatutnya dijualkan atau disalahgunakan untuk tujuan keuntungan.

Kenyataan media rasmi daripada Jumaah Majlis Diraja Johor mengenai isu pengiklanan dan penjualan pingat kebesara Diraja Johor melalui media sosial.
Menurutnya, tanda kemuliaan dan kebesaran Johor adalah kurniaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor atas jasa, kesetiaan yang tidak berbelah bagi, dan perkhidmatan cemerlang mereka kepada raja, negeri dan rakyat.

"Majlis menasihatkan orang ramai bahawa Kerajaan Negeri Johor telah memperundangkan Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 yang berkuatkuasa pada 13 Mac 2017 bahawa menurut Fasal 3 Enakmen itu memperuntukkan mana-mana orang yang mengunakan apa-apa lambang, gelaran atau anugerah Sultan Johor bagi tujuan perdagangan, perniagaan atau apa-apa tujuan sosial atau persendirian tanpa kebenaran bertulis daripada Raja adalah satu kesalahan," menurut kenyataannya lagi.

"Denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000, atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan," tambahnya.

Majlis itu turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas perbuatan mereka jika masih meneruskan pengiklanan dan penjualan tanda kemuliaan dan kebesaran Johor.

Antara tanda kemuliaan dan kebesaran Johor yang diiklankan dalam media sosial adalah Pingat Ibrahim Sultan Pangkat (PIS II) dan Pingat Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.