Tutup

Pinjaman AS$6 bilion dimohon menerusi 1MDB, Aabar Investments - Saksi

Pinjaman AS$6 bilion dimohon menerusi 1MDB, Aabar Investments - Saksi
Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi (tengah) yang merupakan saksi pendakwaan kelapan hadir bagi perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pinjaman berjumlah AS$6 bilion akan dimohon menerusi usaha sama 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) dengan Aabar Investments PJS (Aabar).

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata demikian selepas mengesahkan dokumen bertarikh 5 Feb 2015 mengandungi data pinjaman yang dikemas kini kepada bekas perdana menteri itu mengenai pinjaman AS$6 bilion yang akan dimohon melalui usaha sama 1MDB dan Aabar dan juga prosedur pembayaran semula hutang (pinjaman) tersebut.

Amhari Efendi berkata, dokumen itu berada dalam simpanan beliau dan berkemungkinan bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias pernah memintanya untuk menyimpan dokumen itu selepas perjumpaan mereka dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

"Bagaimanapun, saya tidak dapat memperjelaskan kandungan dokumen itu secara terperinci kerana kebanyakan isu 1MDB dibincangkan secara terus antara Jho Low dan Datuk Azlin manakala saya lebih kepada orang yang menemukan mereka dan menemani Datuk Azlin saja.
"Walaupun turut ada dalam perbincangan itu, saya kurang arif mengenai isu pelaburan perbankan dan kewangan korporat," katanya.

BACA: Bekas pegawai khas tertekan, Najib arah ke China untuk 'selamatkan' hutang 1MDB

Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi (tengah) yang merupakan saksi pendakwaan kelapan hadir bagi perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. --fotoBERNAMA
Beliau berkata, dokumen itu diterima adalah untuk mereka bersedia sekiranya isu itu dipersoalkan dan bersedia untuk mengikuti langkah seterusnya yang disusun Jho Low.
"Saya tidak melupuskan dokumen ini kerana mungkin saya terlepas pandang atau tidak sempat 'shred' (mencariknya). Saya tidak ada membuat apa-apa tindakan susulan selepas menerima dokumen ini," katanya.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata, beliau mungkin menerima dokumen berkenaan melalui e-mel yang dihantar oleh Jho Low ataupun diserahkan sendiri oleh Jho Low semasa pertemuannya bersama Azlin dan Jho Low di bilik Hotel Prince Kuala Lumpur.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

-- BERNAMA

Tag: Najib Razak, Jho Low, 1MDB, Datuk Seri Najib Tun Razak, 1Malaysia Developement Berhad, Aabar Investments PJS, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, Aabar


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.