Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama dengan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) sebagai persediaan bagi memastikan tiada pihak boleh mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan pembukaan pintu sempadan 24 jam Malaysia dan Thailand.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, selain kerjasama bersama agensi-agensi di bawah Aksem yang melibatkan kawasan darat dan perairan negara, pihaknya juga akan menjalin kerjasama dengan pihak Imigresen Thailand.

Menurut beliau, pihak berkuasa tidak hanya akan memberi fokus kepada pintu-pintu masuk sah negara sahaja seperti di Kelantan, Kedah dan Perlis namun ia turut akan melibatkan lorong-lorong tikus yang digunakan oleh penyeludup atau pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kata beliau, ia merupakan tugas kesemua agensi-agensi keselamatan negara untuk memastikan dasar baharu itu berjaya dilaksanakan dan dalam masa sama tiada mana-mana individu boleh mengambil kesempatan.

“Pintu masuk sah ditadbir Imigresen tetapi ruang kemungkinan pembolosan dan penyeludupan yang bukan di pintu masuk yang sah itu sahaja kalau ada.

“Kita akan bersama-sama bukan sahaja Imigresen tetapi dengan pasukan lain seperti Aksem, polis, tentera, dan juga APMM di perairan laut,” ujar Mustafar yang mengulas tentang kesepaduan kawalan dan pemantauan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Kursus Pasukan Kawalan Khas (PKK), JIM Peringkat Zon Utara Siri 1/2018 di Pusat Latihan Pegawai Penjara Taiping pada Sabtu.

Mustafar mengulas perkara itu selepas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengeluarkan kenyataan yang mahu kerajaan pusat mengkaji implikasi terhadap pembukaan sempadan Malaysia dan Thailand selama 24 jam di negeri itu.