KUALA LUMPUR:Kerajaan hari ini mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dalam usaha memulihkan ekonomi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pakej PERMAI bernilai RM15 bilion.

"Secara amnya, pakej bantuan PERMAI menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan.

"Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah PERMAI yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu: Memerangi Wabak COVID-19; Memelihara Kebajikan Rakyat; dan Menyokong Kelangsungan Perniagaan," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam Pengumuman Perdana Menteri Pakej Bantuan Khas yang disiarkan secara langsung pada Isnin.

Jelas  beliau, di bawah matlamat pertama memerangi wabak COVID-19, kerajaan telah menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion.

"Ia merangkumi hampir 800 juta ringgit kepada Kementerian Kesihatan, dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara dan juga agensi-agensi lain yang terlibat.

"Penyediaan peruntukan ini menumpukan kepada bekalan antaranya tambahan reagen dan kit saringan, serta peralatan PPE terutama kepada petugas kesihatan," katanya lagi.

Sebelum ini kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di beberapa buah negeri bermula 13 Januari sehingga 26 Januari ini.