KUALA LUMPUR:Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 482 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, daripada jumlah itu, seramai 438 individu telah dikompaun manakala 40 individu pula direman dan empat yang lain dijamin.

Katanya, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan yang melibatkan 137 individu dan 128 individu lain pula ditahan kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal.

"(Seramai) 101 individu ditahan kerana gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, tidak memakai pelitup muka (69), rentas daerah/negeri PKPB tanpa kebenaran (26), dan lain-lain (21)," katanya dalam satu kenyataan media harian pada Khamis.

Ismail Sabri turut memberitahu, pada Rabu, Operasi Benteng  yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) telah berjaya menahan 68 PATI, 10 tekong serta merampas tiga buah kenderaan darat dan sebuah bot/kapal.

Pada hari yang sama, sebanyak 296 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan iaitu 228 SJR menerusi Op Penawar yang melibatkan ATM, PDRM dan Rela, 59 SJR menerusi Op Benteng (PDRM) dan 9 SJR menerusi Op Benteng oleh AKSEM.

Ismail Sabri juga memaklumkan, seramai 80,748 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 78 Hotel dan 17 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 11,862 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 502 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 68,384 individu telah dibenarkan pulang," katanya.

Kata beliau, sejak 20 Aprl hingga 2 Disember, sebanyak 13,736 pemeriksaan telah dilakukan oleh penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).