Seramai 88 pelajar dari empat universiti di zon utara akan bergerak pulang ke zon tengah pada malam ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, mereka adalah pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Univerisiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Sains Malaysia (USM); dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Merbok dan Pulau Pinang.

"Mereka akan bergerak menggunakan bas yang menghantar pelajar ke zon utara semalam (malam tadi). Bas itu akan disanitasi terebih dahulu sebelum mereka menaikinya menuju ke zon tengah, malam ini," katanya pada sidang media harian, di sini pada Selasa.

Selain itu, beliau berkata, secara keseluruhan lebih 4,878 pelajar akan bergerak pulang ke rumah masing-masing pada Rabu.

"Pada esok (29 April), seramai 4,878 pelajar yang akan bergerak ke kampung masing-masing tetapi semuanya (perjalanan) dalam zon yang sama.

"Seramai 653 pelajar dalam zon utara akan bergerak pulang malam esok, begitu juga dengan zon timur (1,165 pelajar), Sabah ke Sabah (lebih 2,164 pelajar) manakala ke Labuan (11), selain perjalanan dalam Sarawak (833)," katanya.


Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, seramai 790 pelajar dari sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) yang bergerak pulang ke kampung masing-masing malam tadi telah selamat tiba.

Ia membabitkan pergerakan pelajar ke zon utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.