Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac nyata memberikan pengalaman baharu bagi ketua keluarga membantu isteri melakukan kerja rumah.

Masa terluang sepanjang tempoh PKP berikutan tidak perlu keluar berkerja mendorong kaum bapa melakukan kerja rumah seperti membeli barang dapur, mengemas rumah, memasak dan menjaga anak.

Berkongsi pengalaman, Mohamad Faiz Ghazali, 31 berkata pada mulanya beliau merasa kekok membuat kerja rumah, namun setelah hampir dua minggu beliau mula rasa seronok dapat membantu isterinya menguruskan rumah dan anak.

"Cabaran hari pertama PKP ialah apabila isteri meminta saya ke pasar bagi membeli barang dapur. Beliau (isteri) meminta saya beli halia, lengkuas dan kacang bendi muda, setibanya di pasar, saya mula rasa keliru rupa-rupanya terdapat dua jenis halia iaitu halia muda dan halia tua," katanya yang berkerja sebagai jurutera kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya setelah pulang daripada pasar dan mendapat penjelasan isterinya, Nur Syuhadah Yussof baru beliau faham perbezaan antara kegunaan halia muda dan halia tua.

"Tanggapan saya sebelum ini salah ...sekarang saya faham kenapa isteri dan ibu-ibu kita banyak membebel ...rupanya kerja rumah lebih penat daripada pergi bekerja ...mereka (isteri) bekerja tanpa henti dari pagi hingga ke petang," katanya.

Turut berkongsi pengalaman, Ammar Yassir Hashim, 38, yang mengambil alih tugas isterinya menjaga anak di rumah apabila isterinya yang berkerja sebagai seorang jururawat terpaksa bertugas.

Bapa kepada tiga anak itu mengakui ini merupakan kali pertama beliau menguruskan anak seorang diri di rumah apabila isteri bertugas seperti biasa.

"Kebiasaannya saya hanya membantu menghantar anak-anak ke taska dan sekolah pada waktu pagi dalam perjalanan ke tempat kerja setelah semua disiapkan oleh isteri, namun setelah sekolah dan taska ditutup bagi mematuhi PKP, saya perlu menguruskan anak-anak di rumah.

"Perkara yang tidak dapat saya lupakan apabila hari pertama anak bongsu saya, Muhammad Yusra berusia tiga tahun menangis tidak mahu dimandikan selain tidak mahu makan ...saya terpaksa 'bertukar' menjadi watak kartun adiwira kegemarannya bagi memujuk dia untuk mandi dan makan," katanya yang bekerja sebagai guru di Kangar

Katanya, beliau berbangga dengan isterinya, Nor Amirah Daud, 33, yang bertugas di barisan hadapan.

"Kasihan juga saya tengok dia penat balik kerja di kala orang lain cuti ...namun dia tidak pernah merungut dan masih boleh senyum, bermesra dengan anak walaupun seharian bertugas di hospital," katanya. - BERNAMA