Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyangkal dakwaan Migrant Care (Perhimpunan Indonesia Untuk Buruh Migran Berdaulat) bahawa kerajaan Malaysia mengusir rakyat Indonesia secara besar-besaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hishammuddin berkata kenyataan tersebut adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab malah turut dinafikan pihak berkepentingan Indonesia sendiri.

“Menteri Luar Indonesia, Ibu Retno Marsudi sebelum ini menyatakan memang akan ada sekumpulan rakyat Indonesia pulang, tetapi beliau tidak menyebut kerana pengusiran.

“Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah juga menegaskan bahawa rakyat Indonesia pulang bukan kerana diusir. Sebaliknya, dihantar pulang kerana masuk ke Malaysia tanpa izin sebelum krisis COVID-19.


“Selain itu, Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur turut menafikan berlakunya pengusiran,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu, katanya, Koordinator Fungsi Penerangan Sosial dan Budaya Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru, Anang Fauzi Firdaus turut mengakui rakyat Indonesia pulang atas beberapa sebab iaitu tamat tempoh kebenaran menetap dan tiada kerja sepanjang tempoh PKP di Malaysia.

“Sesungguhnya, hubungan saya dengan rakan sejawat, Ibu Retno Marsudi adalah cukup baik.

“Malah, Wisma Putra dan Kementerian Luar Indonesia sentiasa berhubung bagi membincangkan kepentingan rakyat negara masing-masing yang menetap di Malaysia dan Indonesia

“Justeru, nasihat saya kepada pihak di luar sana, semak dahulu kesahihan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan. Jangan sewenang-wenangnya membuat dakwaan tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan hubungan serumpun Malaysia dan Indonesia,” tambahnya.