Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bergantung kepada nasihat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, setakat ini perkara itu masih belum dibincangkan di peringkat jemaah menteri.

"PKP termasuk sambung atau tidak di atas nasihat KKM. Setakat ini kita tidak bincangpun di mesyuarat khas menteri-menteri setiap pagi.

"Saya pun tak tahu apa seterusnya, kerajaan serah pada KKM. Selepas kami menerima nasihat KKM, kerajaan akan membuat keputusan," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, selagi tiada pengumuman, PKP kekal setakat 14 April 2020.

"Selagi tiada pengumuman, maka kita kira setakat hari ini PKP diteruskan sehingga 14 April 2020. Selainnya, kalau ada pengumuman, saya tidak akan komen sebab ia terserah pada KKM," tambahnya.

Sementara itu, kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) walaupun lokasi yang dikuatkuasakan melibatkan pusat industri atau gudang penyimpanan makanan.

Jelasnya, PKPD adalah seperti Perintah Berkurung atau total lockdown.

"Apabila sebut PKPD, ia seolah-olah total lockdown, tiada aktiviti boleh dilakukan, tidak boleh keluar rumah, tidak boleh keluar masuk,"

"Persoalan jika PKP disambung, kita tunggu, namun persediaan kita ada sebab itu kalau tiada PKP, mungkin ada post PKP. SOP tertentu mesti dipatuhi," ujar beliau.