Kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada pada tahap paling tinggi terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki tahap kedua bermula hari ini.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya sentiasa menzahirkan sokongan penuh serta akan menyalurkan bantuan kepada pasukan keselamatan lain demi memastikan keselamatan negara terjamin.

"Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah kerjasama antara PDRM dan ATM berada pada tahap yang baik khususnya di semua kawasan melibatkan PKP atau di lokasi yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Walau dimana sahaja kita ditempatkan, kita sentiasa beri sokongan dan bantuan yang mantap dan sentiasa mengambil kepentingan rakyat dan negara di hadapan kita," katanya hari ini.

Terdahulu beliau meluangkan masa kira-kira sejam bagi meninjau tahap kawalan di PKPD Menara City One Jalan Munshi Abdullah, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tahap kawalan di PKPD Menara City One berada pada tahap terbaik dan terkawal.

"Kawasan ini telah dipagar dengan dawai untuk memastikan tiada pihak boleh keluar masuk. Hanya satu pintu sahaja dibuka.

"Dengan cara ini, kita dapat pastikan orang ramai tidak boleh keluar masuk sementara saringan kesihatan oleh pegawai perubatan dibuat," jelasnya.