Kerajaan perlu menimbangkan kelonggaran untuk semua sektor beroperasi sekurang-kurangnya dengan kapasiti 50 peratus, kata Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai turut mencadangkan agar semua 'sektor penting' dibenar beroperasi 100 peratus berbanding hanya 50 peratus ketika ini.

Jelas Soh Thian, langkah itu bukan sahaja dapat memulihkan aliran tunai sektor perindustrian tempatan, malah ia mampu memastikan sektor perniagaan kekal bertahan sepanjang penularan wabak COVID-19.

"Sejak tiga minggu lalu sektor-sektor penting negara membuktikan bahawa ia berupaya untuk mematuhi syarat ketat yang ditetapkan MITI terutamanya membabitkan prosedur operasi standard COVID-19.

"Ini bermakna persekitaran kilang dapat dikawal ketat dan sehingga kini tiada kes jangkitan direkodkan di kilang-kilang yang dibenar beroperasi," katanya kepada Astro AWANI.

Kerajaan pada Jumaat mengumumkan pelonggaran sembilan industri untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP, termasuk perkhidmatan gunting rambut dan dobi.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan keputusan berkenaan diambil menerusi mesyuarat kabinet pada Rabu lalu.

Ia turut menyebut syarikat-syarikat dalam sektor-sektor tambahan yang disenaraikan boleh membuat permohonan beroperasi kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bermula Isnin, 13 April 2020, dari jam 9 pagi.

Semua permohonan mestilah dibuat secara atas talian di laman sesawang MITI, www.miti.gov.my.