Seorang peniaga yang menjual donat pada harga 10 sen sebiji hilang punca pencarian selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menurut Idham Syafiq Darmilus, 33, dia tidak dapat menjual donatnya kerana tidak boleh keluar untuk berniaga sepanjang tempoh PKP ini manakala kedai tempatnya bekerja sementara pula ditutup.

Katanya, situasi itu amat menggusarkannya kerana perlu menanggung isteri serta empat orang anak yang berusia dua sehingga 16 tahun selain tiada sumber kewangan lain.

Sebelum ini, Idham Syafiq berniaga donat di rumah sewanya di Kampung Mengabang Telipot dengan jualan mencecah sehingga 1,500 biji donat sehari namun terpaksa ditutup kerana berpindah.

“Keadaan sekarang ini, musim PKP ini memang punca pendapatan kita terputus. Terkesan sebab tempahan tidak ada sambutan lagi. Jadi memang punca pendapatan tidak ada,” ujarnya

Jelas Idham Syafiq, dia kemudian mula beralih arah dengan berniaga di atas motosikal di depan sebuah bank di pusat bandaraya.

Pada masa itu, jualannya laris sebanyak 400 sehingga 500 biji donat dalam masa 15 minit sahaja.

Kini dia ingin membuka tempahan donat dan berharap orang ramai membantu menyokong perniagaannya kembali dengan membuat pesanan secara dalam talian.

“Dengan keadaan PKP sekarang ini punca pendapatan saya terputus, jadi saya buka untuk tempahan kepada penggemar donat 10 sen sebiji ini.

“Boleh buat pesanan dengan saya melalui WhatsApp, saya juga sedia membuat penghantaran di sekitar Kuala Terengganu dan kawasan berdekatan rumah,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin melakukan tempahan donat 10 sen Idham Syafiq boleh terus menghubunginya menerusi talian 013-9392595.