Gembira, lega dan bersyukur. Itu luahan penuntut-penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dari zon tengah yang selamat tiba di kampung halaman mereka di dua negeri di utara tanah air awal pagi Selasa.

Mereka antara yang terkandas di kampus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

DI PULAU PINANG, seramai 213 pelajar Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tiba di lima lokasi 'drop-off point' di negeri itu sekitar jam 4 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan, lokasi yang ditetapkan ialah di Ibu Pejabat Polis Daerah, pejabat daerah dan tanah, dan sebahagiannya di politeknik di negeri itu.

Daripada jumlah itu, seramai 59 pelajar dari empat buah IPTA tiba di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara sekitar jam 4.25 pagi.

Sebaik tiba, semua pelajar berkenaan disaring Jabatan Kesihatan Negeri terlebih dahulu sebelum dibenarkan bertemu dengan waris yang menunggu di kawasan yang dikhaskan.

Waris pelajar yang tiba sekitar jam 4 pagi hanya dibenarkan mengambil pelajar di pekarangan pejabat daerah melalui kaedah pandu lalu.

Menurut Sahabudin, seramai 55 pelajar turut tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, masing-masing 36 pelajar tiba di IPD Timur Laut dan Barat Daya manakala 27 pelajar tiba di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan.

DI KEDAH, sejumlah 130 pelajar IPTA dan IPTS tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Kotar Setar yang menjadi lokasi 'drop-off point' sekitar jam 6 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, sejurus tiba, kumpulan pertama pelajar ini disaring Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sebelum dibenarkan bertemu dengan waris yang menunggu di kawasan yang dikhaskan.

Waris yang tiba hanya dibenarkan mengambil pelajar di pekarangan IPD dan terus membawa pulang anak mereka.

Jelas Mohd Rozi, bagi pelajar yang mana waris mereka tidak dapat datang untuk menjemput mereka, pihak polis menghantar pelajar terbabit ke kampung halaman masing-masing.


Pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 863 pelajar dihantar pulang dari zon tengah ke zon utara malam Isnin, manakala 265 pelajar akan dihantar pulang dari zon utara ke zon tengah pada malam Selasa.

Terdahulu, beliau berkata seramai 1,128 pelajar IPTA dan IPTS akan mula pulang ke kampung halaman masing-masing mulai malam Isnin.

Proses penghantaran pulang melibatkan sembilan universiti yang terlibat dan 49 buah bas ke 17 destinasi.