Kerajaan negeri Perak hari ini melancarkan Skim Agro Prihatin Negeri Perak (AgroPrihatin) bagi membantu petani-petani yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memperuntukkan dana berjumlah RM1 juta bagi membeli hasil pertanian, khususnya sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak terjual.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia melibatkan petani yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perak dan PPPNP.

"Pembelian akan dilakukan secara tunai untuk membantu kecairan modal segera bagi para petani.

"Skim ini berasaskan kepada kerjasama rakan strategik dan usaha strategik di antara Kerajaan Negeri melalui PPPNP dengan KLK Berhad, Agroto Business, Pertubuhan Peladang Kawasan Selama dan Central Kitchen.

"Menerusi kerjasama ini, hasil pertanian yang dibeli oleh PPPNP akan dijual terus kepada rakan strategik iaitu KLK Berhad dan syarikat-syarikat perladangan sawit di negeri Perak untuk diagihkan kepada kakitangan mereka yang dianggarkan berjumlah 10,000 orang," kata Ahmad Faizal.

Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, antara syarikat korporat yang berminat untuk memasarkan hasil pertanian ke pasar raya ialah Agroto Business.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PPPNP berkata, bagi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), hasil pertanian disalurkan kepada operator Central Kitchen seluruh negeri Perak untuk penyediaan makanan bermasak kepada para petugas barisan hadapan.

Ujarnya lagi, data dari Jabatan Pertanian dan agensi-agensi pertanian negeri menunjukkan pengeluaran hasil pertanian oleh petani di negeri Perak dianggarkan melebihi 13,000 tan metrik sehingga 14 April 2020.

Bagaimanapun, dianggarkan antara 20 dan 30 peratus daripada hasil pertanian ini tidak dapat dijual berikutan kurang permintaan dari pemborong, industri perhotelan dan rangkaian restoran, susulan pelaksanaan PKP sehingga 14 April 2020.

Justeru, ujarnya, kerajaan negeri menyeru kepada para petani yang terjejas untuk berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, FAMA Negeri Perak dan PPPNP bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang dan laman Facebook agensi terbabit.