Sembilan beranak yang dikuarantin di sini, selama dua minggu selepas pulang dari Thailand mengakui menerima layanan sangat baik daripada semua agensi yang terbabit, malah segala keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya.

Norizyani Johari, 34, bersama suami, Adnan Abdul Wahab, serta tujuh anak mereka termasuk yang bongsu menyambut hari lahir hari ini, menamatkan kuarantin di Hotel Seri Malaysia di sini pada Rabu.

Norizyani berkata, keadaan ketika menjalani proses itu selepas mereka kembali dari kampung suaminya di Pattani, tidak seburuk seperti yang digambarkan sesetengah pihak di media sosial sebelum ini.

"Semuanya sempurna dan mencukupi termasuk makanan. Malah apa saja perkhidmatan yang kita perlu, mereka sediakan. Hari-hari mereka telefon tanya apa lagi kelengkapan atau keperluan yang kita mahu.

"Alhamdulillah kami sangat selesa di sini. Kami sebenarnya tidak ada banyak keperluan sebab bulan puasa, makan pun tidak kerap, cuma sahur dan berbuka puasa sahaja. Makanan pun mereka datang hantar depan pintu bilik.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua barisan hadapan termasuk doktor, Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana menjaga kebajikan kami dengan baik," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Rabu.

Norizyani bersama keluarga pulang ke kampung suaminya di Pattani, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Mereka dikuarantin selepas masuk semula ke Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam, dua minggu lalu.

Sementara itu, Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob berkata, seramai 411 individu dikuarantin di lima stesen kuarantin di negeri ini yang disediakan di tiga daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu dan Kuala Muda.

Katanya, stesen kuarantin di Hotel Seri Malaysia ditutup hari ini selepas 23 individu yang menjadi kumpulan terakhir dikuarantin di situ dibenarkan pulang.