Kerajaan negeri Sarawak membuat keputusan untuk mengikuti langkah Kerajaan Pusat yang membenarkan dua ahli keluarga dari rumah yang sama bergerak dalam satu kenderaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan media pada Khamis, berkata keputusan itu berkuasa serta merta.

Uggah berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan maklum balas diterima daripada orang awam mengenai peraturan itu yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

"Sekarang kami akan membenarkan dua ahli keluarga terdekat untuk keluar dengan sebuah kereta bagi tujuan membeli makanan, ubat-ubatan, keperluan harian, diet tambahan atau barangan lain daripada mana-mana penyedia perkhidmatan penting atau mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan perubatan," kata beliau.

Menurut beliau, jawatankuasa itu tidak membuat keputusan serta-merta selepas Ismail Sabri mengumumkan kelonggaran dalam prosedur operasi standard (SOP) PKP fasa empat semalam kerana mereka belum menerima maklumat daripada Kerajaan Persekutuan ketika itu.

"Kami perlu berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan penting pada waktu kritikal ini kerana ia boleh memberikan kesan yang besar kepada negeri. Lagipun, kita masih lagi memerangi pandemik COVID-19," katanya.

BACA: Dua penumpang dibenarkan dalam satu kenderaan adalah antara kelonggaran PKP