Pihak polis tidak akan berkompromi dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang masih ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Demikian tegas Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail yang menyatakan bahawa arahan itu terpaksa dilakukan kerana masih ramai yang berdegil dan sengaja mengingkari perintah laranagn tersebut.

“Mereka yang masih berdegil dan sengaja keluar rumah tanpa sebab munasabah, kita tidak akan teragak-agak untuk menahan dan jika perlu tangkapan akan dibuat,” tegasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Penguatkuasaan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Mereka yang ditangkap akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Setakat ini bagaimanapun masih belum ada tangkapan dibuat berhubung perkara tersebut namun pihak polis akan terus bertegas bagi memutuskan rantai penularan COVID-19 ini.

Ujarnya, kebenaran keluar selepas jam tujuh malam hanya diberikan kepada mereka yang punya keperluan seperti bekerja dan hal-hal melibatkan kecemasan sahaja.