Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ahmad Amzad Hashim memuji langkah diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu operasi kilang arak baru-baru ini.

Katanya, tindakan membatalkan pengecualian yang diberi kepada syarikat minuman keras itu perlu diambil kerana tidak ada kebaikan dalam membenarkan kilang tersebut beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Arak secara saintifiknya tidak baik untuk kesihatan manusia.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mencatatkan alkohol sebagai 'a toxic and psychoactive substance with dependence producing properties'.

"Kerana itu, keputusan membatalkan kelulusan operasi kilang arak sepanjang PKP ini adalah tepat," kata Ahmad Amzad kepada media hari ini, selepas mengadakan lawatan ke KPDNHEP di sini.

Katanya, arak bukan merupakan sejenis bahan makanan atau minuman yang perlu dipastikan bekalan berterusan untuk rakyat, dalam tempoh PKP yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

"Sekiranya ia dibenarkan beroperasi dan arak dijual, ia dikhuatiri mampu memburukkan lagi keadaan sedia ada.

"Ia juga boleh menyusahkan penguatkuasaan dalam tempoh PKP, bila berdepan individu ingkar yang berada di bawah pengaruh alkohol," tambahnya.

COVID-19: Keputusan benarkan kilang arak beroperasi dibatalkan - Annuar Musa

COVID-19: Pemimpin UMNO dan Pas bantah keputusan benarkan syarikat arak beroperasi

Dalam lawatan yang berlangsung selama hampir satu jam setengah itu, pelbagai perkara dibincangkan bagi membuka jalan kerjasama dua hala antara dua kementerian itu.

Kehadiran Ahmad Amzad telah disambut Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Antara agenda lawatan adalah bagi membincangkan mengenai kekurangan bahan mentah bagi sektor pembuatan topeng muka dan ‘hand sanitizer’.

Jelasnya, isu tersebut telah diunjurkan kepada pihak KPDNHEP dan telah pun diambil maklum.

"Ini merupakan masalah utama yang dihadapi negara, terutamanya kepada petugas barisan hadapan, yang kekurangan topeng muka," katanya.

Turut dibincangkan, isu kekurangan bahan mentah untuk penghasilan ‘3D Face Shield’.