Jumlah kenderaan yang diperiksa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan pada Jumaat iaitu sebanyak 293,181 berbanding 277,002 kenderaan pada hari sebelumnya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PDRM turut melaksanakan 133 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara, setakat Jumaat.

"Sebanyak 32 kenderaan diarah patah balik atas cubaan rentas negeri tanpa kebenaran.

"Antara negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri yang tertinggi adalah Selangor (17), Pahang (enam) dan Negeri Sembilan serta Melaka (empat)," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, PDRM turut menahan dan mereman 21 individu selain mengeluarkan kompaun terhadap 277 orang atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Selain itu, seperti biasa juga sudah beberapa hari seperti saya sebutkan, tiada kompuan dikeluarkan terhadap aktiviti ziarah Aildilfiti," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 77,111 pemeriksaan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB, setakat semalam.

Katanya, sebanyak 3,564 pasukan pematuhan telah membuat pemantauan melibatkan seramai 17,549 anggota.