Kerajaan membenarkan semua 7,000 taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar di seluruh negara beroperasi semula, berkuat kuasa serta merta.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 6,696 lagi taska dibenarkan beroperasi pada Selasa.

Sebelum ini katanya, kerajaan telah membenarkan 304 daripada 7,000 taska itu beroperasi.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah membentangkan prosedur operasi standard (SOP) yang diperkemaskan berhubung operasi taska kepada Mesyuarat Khas.

“Mereka (pengusaha) boleh merujuk SOP yang saya sebutkan tadi melalui lawan web KPWKM dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci supaya mereka boleh memulakan operasi taska.

“Jadi, kita harap dengan pembukaan taska ini tidak timbul lagi isu ibu bapa yang bekerja tidak boleh bekerja kerana perlu menjaga anak di rumah dan sebagainya.

“Jadi, tidak timbul lagi isu majikan yang mengarahkan ibu atau bapa bercuti tanpa gaji untuk menjaga anak-anak,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Selasa.


Mengenai SOP operasi taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) pula, Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju agar Kementerian Pendidikan menjadi penyelaras kepada pusat jagaan tersebut di seluruh negara.

“Ini kerana pengurusan tadika dan tabika di bawah penyeliaan pelbagai kementerian,” katanya.