Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat sebanyak 61,876 pemeriksaan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara pada Isnin.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jumlah tersebut membabitkan sebanyak 3,675 pasar raya, restoran (3,102), penjaja (330) dan kilang (753) serta bank (3,742).

Malah, katanya pemeriksaan turut dibuat di 1,302 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (270) serta terminal pengangkutan udara (115).

"Selain itu, Pasukan Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan telah memeriksa sebanyak 18,048 buah kenderaan persendirian; 1,338 kenderaan awam dan 238 kapal.

"Turut diperiksa adalah 2,295 pasar awam; 4,058 tempat ibadat; 4,462 tempat riadah dan 265 tapak binaan," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Selasa.

Jelas beliau, Pasukan Petugas Khas Operasi Pemantauan itu melibatkan 3,183 kumpulan dengan kekuatan seramai 15,872 anggota.