Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

PKPB: Gunung Keriang masih jadi tumpuan bergambar, lumba haram

PKPB: Gunung Keriang masih jadi tumpuan bergambar, lumba haram
Polis mengambil tindakan tegas kepada mereka yang datang ke kawasan Gunung Keriang tanpa alasan munasabah ketika PKPB masih berkuatkuasa. Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Tindakan segelintir masyarakat yang terus berdegil dengan bersiar-siar sambil bergambar di kawasan Gunung Keriang, di Alor Setar, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa mengecewakan polis.

Malah, tindakan segelintir golongan muda termasuk remaja yang menjadikan jalan masuk sepanjang dua kilometer ke kawasan riadah terkenal itu sebagai trek lumba motosikal ibarat mencabar pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata kelonggaran yang diberi kerajaan dalam PKPB tidak seharusnya disalahgunakan oleh masyarakat.

Katanya, mereka tetap perlu mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKPB berlangsung, selain undang-undang biasa yang lain.
"Pasukan pemantau kita mengesan masih ada orang awam terutama remaja yang datang ke kawasan taman rekreasi di Gunung Keriang tanpa sebab yang munasabah walaupun sudah dilarang sebelum ini.

"Kita sudah pun memberi teguran dan mengambil tindakan sebelum ini, namun masih ada yang tetap berdegil.

"Polis memberi amaran akan mengambil tindakan lebih tegas selepas ini termasuk menahan mereka dan mengenakan kompaun RM1,000 kerana tidak mematuhi PKPB," katanya di sini.

Beliau berkata, dalam operasi terbaharu petang Ahad, masih ada segelintir yang berbuat demikian dengan datang bersama keluarga selain kumpulan bermotosikal menunggang beramai-ramai.

Katanya, polis menahan mereka dan menjalankan siasatan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.