Kerajaan bersetuju untuk memberi kelonggaran dengan membenarkan kenderaan persendirian membawa maksimum enam orang penumpang berbanding arahan sebelum ini iaitu empat orang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata arahan tersebut tertakluk kepada kapasiti sesebuah kenderaan yang boleh memuatkan penumpang.

“Insya-Allah kita pun sudah bincang dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bahawa empat-empat (penumpang) itu mungkin untuk kereta yang sesuai.

“Kita setuju berdasarkan kapasiti, kalau kereta itu MPV (kenderaan pelbagai guna), dia boleh enam (penumpang).

“Jadi, kita benarkan dan bersetuju untuk membenarkan enam di dalam satu kereta, cuma saya tidak pasti sama ada akta berhubung perkara itu telah dipinda. Kalau ia sudah diwartakan, ia boleh membenarkan sehingga enam orang mengikut kapasiti kereta tersebut,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Isnin.

Jelas beliau, setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memaklumkan sebarang kes melibatkan lebihan penumpang dalam kenderaan persendirian.

Namun, beliau menyedari dalam kes-kes tertentu pihak berkuasa turut menggunakan budi bicara.

“Kadang-kadang seperti yang sayakan akta itu ada dan jelas, tetapi pihak polis kadang-kadang menggunakan budi bicara.

“(Contohnya), empat orang tiba-tiba ada seorang bayi di atas riba mak dia, dia dah jadi lima (penumpang). Dari segi akta memang boleh ambil tindakan sebab lima tetapi biasanya pihak polis akan menggunakan budi bicara,” katanya lagi.