KUALA LUMPUR:Larangan pergerakan radius 10 kilometer (km) yang dikenakan dalam fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdahulu sudah tidak lagi terpakai di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata orang ramai dibenarkan bergerak melebih lingkungan 10km asalkan dalam sempadan satu-satu daerah pentadbiran.

“Peraturan radius 10km tidak lagi diguna pakai, asalkan orang ramai bergerak dalam daerah pentadbiran yang sama, kami benarkan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, hanya dua orang sahaja yang dibenarkan untuk keluar dari rumah untuk membeli barangan dan sebagainya,” katanya pada sidang media secara maya pada Khamis.

Untuk rekod, daerah pentadbiran merujuk kepada kawasan yang diketuai oleh pegawai daerah.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata bagi orang ramai dari negeri-negeri lain yang ingin melakukan perjalanan melalui Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh memuat borang permohonan permit pergerakan dari balai polis terdekat atau muat turun melalui Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Borang yang selesai diisi perlu diserahkan kepada balai polis berdekatan untuk mendapatkan tandatangan ketua balai.

“Borang yang telah ditandatangan dan dicop boleh ditunjukkan sewaktu melalui sekatan jalan raya.

“Muat turun borang, isikan maklumat yang diminta dengan tepat dan hanya perlu hadir ke balai polis untuk tujuan pengesahan sahaja,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa permohonan berbentuk sosial adalah tidak dibenarkan.

Untuk rekod, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dikenakan PKPB bermula 14 Oktober sehingga 27 Oktober ini.

Dalam perkembangan berhubung operasi pematuhan PKPP, beliau berkata PDRM telah menahan 390 individu pada Isnin atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

“Daripada jumlah itu, seramai 386 individu dikompaun, empat lagi direman,” katanya.

Menerusi Operasi Benteng yang dijalankan pula, beliau berkata 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga penyeludup ditahan.

Katanya lagi, lima bot dan lima kenderaan darat juga berjaya dirampas.