Akhirnya, hasrat kebanyakan rakyat di negara ini agar kerajaan membenarkan operasi kedai gunting rambut dan dandan rambut beroperasi semula telah termakbul!

Kerajaan hari ini mengumumkan perkhidmatan gunting serta dandan rambut selain salun kecantikan dibenarkan beroperasi semula bermula 10 Jun ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri yang berlangsung, pada Sabtu.

Katanya, kerajaan membuat keputusan itu setelah mengambil kira sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berjumlah RM13.5 bilion setahun, selain sektor tersebut melibatkan 74,500 tenaga kerja daripada 16,728 perniagaan yang berdaftar.

"Aktiviti yang dibenarkan termasuk gunting rambut asas, cuci rambut asas, cukur jambang dan misai, solekan dan rawatan rambut, manicure dan pedicure serta cuci dan rawatan muka.

"Bagi golongan yang berisiko iaitu individu yang berusia 60 tahun ke atas, proses guntingan adalah diwajibkan secara temu janji tanpa kehadiran pengunjung daripada kumpulan umur lain.

"Bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, ibu bapa dibenarkan hadir bersama tetapi perlu mematuhi pemakaian alat pelindung diri seperti pelitup muka dan apron pakai buang," katanya dalam sidang media harian di sini pada Sabtu.

Selain itu katanya, pengusaha perlu menyediakan apron pakai buang yang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala yang dikongsi.

Jelas Ismail Sabri, SOP ditetapkan juga memerlukan pekerja memakai pelindung muka, apron pakai buang selain sarung tangan yang berbeza bagi setiap pelanggan.

Katanya, pengusaha juga perlu memastikan jarak antara setiap kerusi sejauh sekurang-kurangnya dua meter bagi setiap pelanggan.

Ismail Sabri berkata SOP sama turut terpakai terhadap aktiviti mengunting rambut di rumah.

"Di rumah lebih selamat sebab tiada percampuran (antara individu). Walau ada penjarakan sosial namun mungkin ada lima tempat (di kedai gunting), tetapi di rumah satu (tempat sahaja)... sebab itu di rumah tiada percampuran," katanya.