Jumlah penumpang yang dibenarkan menggunakan semua pengangkutan awam termasuk bas, transit aliran massa (MRT) dan transit aliran ringan (LRT) adalah dihadkan separuh daripada jumlah kapasiti sebenar.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, itu antara prosedur operasi standard (SOP) yang patut dipatuhi semua pihak khususnya pengguna dan pengendali perkhidmatan pengangkutan awam bagi memastikan aspek penjarakan sosial dapati dilakukan.

"Mulai esok, semua perkhidmatan pengangkutan awam akan kembali beroperasi seperti sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memudahkan perjalanan orang ramai ke tempat kerja.

"Sebagai contoh, sekiranya kapasiti bas sebelum ini adalah seramai 40 orang, tetapi kita hanya benarkan 20 orang sahaja menaiki bas dalam satu masa. Sama juga dalam MRT atau LRT dan ditempat berdiri dalam MRT atau LRT juga perlu meletakkan tanda seperti mana dilakukan dalam lif sebelum ini," katanya dalam sidang media harian pada Ahad.


Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, semua pengguna dan pengendali perkhidmatan pengangkutan awam diingatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan.

Katanya, ini termasuk memastikan penjarakan sosial dan kebersihan diri dipatuhi.

"Kita akan menempatkan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di semua lokasi perkhidmatan awam bagi mengawal sop yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, bagi kenderaan persendirian pula, dibenarkan untuk empat penumpang dari keluarga yang sama dan tinggal di rumah yang sama," jelas beliau.

PKPB akan bermula esok dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan kerajaan bagi mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara serta kepentingan membendung wabak COVID-19.