Tanggungjawab mengimbangi usaha memerangi penularan wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara perlu terus dipikul oleh setiap individu pelbagai lapisan masyarakat.

Justeru, keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun depan, perlu dijadikan sebagai peluang kepada setiap individu meneruskan kehidupan dengan mengadaptasi normal dan norma baharu.

Pakar sains politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Nasrudin Mohamed berkata PKPB yang kini dilanjutkan itu ibarat satu panduan untuk rakyat hidup bersama wabak itu sehinggalah vaksin COVID-19 ditemui.

"Saya berpandangan sudah tiba masanya tanggungjawab menguruskan impak COVID-19 ini ditangani secara bersama komuniti dan individu. Setiap orang harus menjalankan tanggungjawab menjaga kesejahteraan diri dan keluarga.

"Sekiranya kita hanya mengharapkan PKPB (usaha kerajaan semata-mata), kita hanya melemahkan atau makin mengurangkan keupayaan sumber manusia kita dan seterusnya semakin menjejaskan ekonomi," katanya kepada Bernama.

Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB dilanjutkan bagi tempoh empat minggu lagi, sehingga 9 Jun depan, sekali gus menyaksikan larangan pergerakan rentas negeri untuk menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, kekal dikuatkuasakan.

Dalam pada itu, Nasrudin menyarankan kerajaan memperluas lagi kebenaran beroperasi perniagaan dan pada masa sama mengutamakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata masyarakat juga perlu dididik meskipun 'secara paksaan', untuk mengamalkan langkah keselamatan yang standard.

"Kita perlu terima hakikat bahawa penularan wabak ini perlu dihadapi sebagai sebahagian kehidupan harian dan perlu mengubah rutin hidup dengan membudayakan langkah keselamatan dan perlindungan diri serta keluarga. Kita tiada pilihan selain meneruskan hidup dan mandiri dengan berhemah," kata beliau.

Senada dengannya, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Dr Marimuthu Nadason, yang antara lain turut menggesa kerajaan memantau peniaga agar tidak mengambil kesempatan seperti menaikkan harga barangan sepanjang tempoh lanjutan PKPB.

"Kita tidak mahu ada peniaga tiba-tiba naikkan harga atas alasan pelanggan kurang keluar membeli barang, malah FOMCA juga mahu kerajaan memperhalusi kaedah pelaksanaan dan pemberian bantuan kepada rakyat agar mereka terima maafaat tersebut tanpa ada yang tertinggal," katanya.

Sementara itu, rata-rata reaksi pelayar media sosial akur dengan keputusan pelanjutan PKPB dan menyambut perayaan dalam suasana sederhana serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

Seorang pelayar Twitter @NasrizalAmmar menciap: "Semoga rakyat bersabar #KitaJagaKita #PKPB #KitaTeguhKitaMenang".

@itsmeamiirah pula menciap: "Untuk tahun ni tak payahlah nak ziarah Hari Raya sangat. Raya je kat rumah masing-masing. Kita ni bimbang jugak kalau datang ramai-ramai mari raya dekat rumah #PKPB".

Sementara @miz_sumi dalam ciapannya: "Biar tak balik raya tahun ini supaya boleh balik raya pada tahun seterusnya dan seterusnya. Be safe and be healthy #PKP #PKPB #COVID-19".

-- BERNAMA