Polis Kontinjen Kedah akan mengurangkan sekatan jalan raya di dalam bandar sebaliknya memberi tumpuan terhadap kawasan sempadan negeri ini selaras penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata prosedur operasi standard (SOP) baharu pasukan itu ditetapkan bagi mengekang kemasukan orang dari luar ke negeri ini tanpa kebenaran atau alasan kukuh.

Beliau berkata, sehubungan itu, sebanyak 47 sekatan jalan raya di seluruh negeri ini yang dilakukan sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dikurangkan selepas perlaksanaan PKPB bermula Selasa.

"Tumpuan kita sekarang adalah menyekat atau menapis kemasukan orang ke Kedah, jadi sekatan jalan raya dibuat di semua pintu masuk termasuk di jalan persekutuan, jalan negeri serta lebuh raya.

"Jadi saya berharap pada masa yang sama rakyat Kedah akan terus mematuhi SOP yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di Alor Setar, pada Rabu.

Terdahulu, Zainuddin turut menerima 1,500 naskah terjemahan al-Quran untuk diserahkan kepada barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah.

Sumbangan itu disampaikan oleh Sekretariat Yayasan Warisan Ummah, Hashim Anang.