Sambutan Aidilfitri kali ini jelas berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Selain terikat dengan garis panduan dilaksanakan kerajaan di bawah Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rakyat juga tidak berpeluang melakukan beberapa aktiviti lazim.

Di Sarawak, ia disambut penuh kesederhanaan susulan pandemik COVID-19. Antaranya, tiada solat sunat Aidilfitri dijalankan di masjid kali ini.

Malah, takbir raya bergema terhad kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau sahaja.

Tidak terkecuali, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menunaikan kewajipan itu di kediamannya bersama ahli keluarga di Petra Jaya, Kuching.

Penjarakkan sosial tetap dipraktikkan oleh beliau. Malah tiada aktiviti bersalaman antara satu sama lain.


Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyambut Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan dalam suasana pandemik. -Gambar Astro AWANI

Tiada aktiviti bersalaman pada sambutan Aidilfitri kali ini bagi mengekang COVID-19. -Gambar Astro AWANI

Sementara itu, dalam pemantauan yang dijalankan di sekitar Bandaraya Kuching sekitar pukul 8 pagi Ahad, solat di masjid terpilih sahaja diadakan dengan mengehadkan jumlah jemaah.

Menurut Editor Video, Fazwandy Dolhadi, sambutan dalam norma baharu ini membuka ruang kepada orang ramai untuk mengadaptasi teknologi.

“Memang pada mula agak kekok bagi kita tetapi setiap perkara ada penyelesaiannya.

“Kita boleh mengadaptasi gaya hidup dengan menggunakan platform seperti media sosial. Salah satu kemudahan yang dapat dimanfaatkan orang ramai menunaikan solat sunat Aidilfitri, terdapat panduan yang disediakan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dapat dimuat turun di laman mereka,” katanya.

Jelasnya, meskipun berhadapan masa sukar, dia bersyukur orang ramai masih peka dengan isu semasa dan patuh dengan segala arahan dikeluarkan oleh kerajaan.