KUALA LUMPUR:Semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang diarahkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh mengadakan solat Jumaat berjemaah dengan beberapa syarat.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Khamis, syarat-syarat itu telah pun diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Menurut Dr Zulkifli, setiap masjid atau surau dibolehkan mengadakan solat Jumaat berjemaah tidak melebihi 50 orang dengan mengamalkan penjarakan sosial satu meter.

Solat fardu pula dibenarkan seramai 20 orang pada satu-satu masa dan jemaah juga perlu mengamalkan penjarakan sosial sejauh satu meter antara jemaah lain yang hadir.

Bagaimanapun, menurut kenyataan tersebut jumlah jemaah itu tertakluk kepada keluasan setiap masjid atau surau masing-masing.

Jemaah yang dibenarkan hadir juga perlu ditentukan menerusi jemputan yang diputuskan oleh jawatankuasa masjid dan surau masing-masing mengikut kariah kawasan masjid tersebut.

Tambah beliau, perkara itu juga telah dibincang oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mesyuarat yang telah diadakan pada 14 Oktober lalu sebelum mendapat perkenan dan keizinan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Khamis.