Sebanyak lapan masjid di seluruh Terengganu dibenarkan mengadakan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Jumaat ini.

Kebenaran itu melibatkan Masjid Sultan Ahmad di Kemaman; Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun; Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang; Masjid Sultan Mahmud, Hulu Terengganu.

Selain itu, Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus; Masjid Abidin, Kuala Terengganu, Masjid Bandar Permaisuri, Setiu dan Masjid Nasaruddin Shah, Besut.

Terdahulu, kerajaan negeri turut senada dengan negeri lain membenarkan aktiviti di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 22 Mei ini.

BACA: PKPB: Solat Jumaat di Terengganu bermula 22 Mei, tiada solat Aidilfitri di masjid - MAIDAM

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda dalam satu kenyataan berkata, kelonggaran itu hanya membabitkan satu masjid dalam satu daerah sahaja sepanjang PKPB.

Menurutnya, solat Jumaat diadakan bermula Jumaat ini dengan bilangan jemaah tidak melebihi 40 orang.

Katanya pegawai agama daerah bertanggungjawab memastikan setiap jemaah perlu menjalani pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran jemaah.