Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih lagi berbincang dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi operasi pusat asuhan kanak-kanak atau Taska seluruh negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu penting bagi menjaga keselamatan dan kesihatan kanak-kanak yang diletakkan di bawah jagaan premis berkenaan.

"Saya faham beberapa taska perlu dibuka kerana kedua-dua ibu bapa mereka bekerja. Jadi tiada tempat untuk hantar anak untuk dijaga. Jadi taska terpaksa dibuka.

"Untuk jaga keselamatan anak-anak tersebut KKM akan bincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bincang SOP melibatkan kanak-kanak di taska tersebut, Jadi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan berbincang dengan KKM mengenai SOP. Jadi ia sedang dalam perbincangan," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

KKM sebelum ini melahirkan kebimbangan wujud kebolehjangkitan COVID-19 yang tinggi sekiranya taska dibuka seperti biasa.