PUTRAJAYA:Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lanjutan selama 14 hari itu bermula pada Sabtu, 26 September hingga 9 Oktober depan.

Menurutnya, PKPD yang telah bermula pada 11 September hingga 25 September itu dilanjutkan susulan kawasan itu merekodkan dua angka kes positif COVID-19 sehari dalam tempoh tersebut.

“Pada 23 September 2020, sebanyak 107 kes baharu dilaporkan di kawasan itu.

“Mengambil kira penilaian risiko terhadap penularan wabak ini, kerajaan telah bersetuju melanjutkan PKPD di kawasan ini 14 hari lagi bermula 26 September sehingga 9 Oktober 2020,” katanya.

Astro AWANI pada Ahad melaporkan selepas sebulan Zon Melor, Amanjaya di Kedah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara pentadbiran (TEMCO), akhirnya penguatkuasaan itu akan ditamatkan pada hari ini, 27 September 2020.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat selepas tiada pertambahan kes baru positif COVID-19 direkodkan untuk tempoh 13 hari sejak 14 September lepas.

Sebelum ini, PKPD secara pentadbiran di kawasan itu dilanjutkan bermula 14 September 2020 selepas mula dilaksanakan pada 28 Ogos lepas.

“Sebanyak 4,931 sampel telah diambil di Zon Melor dan bilangan kes positif COVID-19 kekal 13 kes seperti yang direkodkan pada 13 September 2020 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.