Sebanyak dua pos kawalan di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah di sini ditambah menjadikan tujuh pos bagi memantau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang memasuki hari kedua hari ini.

Tinjauan Astro AWANI di lokasi mendapati, pertambahan pos itu dibuat berikutan terdapat cubaan menyelinap keluar atau masuk daripada menara tersebut.

Bagaimanapun hasil permerhatian mendapati kawalan perintah itu berada pada tahap paling tinggi dan terkawal.

Ini kerana, seluruh kawasan menara terbabit telah dipasang dawai besi, pagi tadi bagi meningkatkan kawalan dan memastikan tiada pergerakan keluar masuk baik daripada penghuni unit di menara ini ataupun pihak luar.


Astro AWANI difahamkan, sebanyak 56 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 84 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditempatkan di menara ini mengikut empat syif (peralihan).

Dalam setiap syif, dua anggota PDRM ditempatkan disetiap pos manakala ATM pula masing-masing tiga anggota.


Selain itu, hasil tinjauan juga mendapati, bantuan keperluan harian seperti makanan turut diagihkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mereka yang terjejas dengan PKPD ini.

Pada malam Ahad lalu, kerajaan mengambil keputusan melaksanakan PKPD sehingga 13 April ini selepas mendapati sebanyak 17 kes positif jangkitan COVID-19 dilaporkan berlaku di menara berkenaan.

Keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira nasihat daripada Menteri Kesihatan bagi memutuskan rantaian jangkitan kepada penghuni lain yang tinggal di kawasan perumahan terbabit.

Untuk rekod, tindakan PKPD itu melibatkan 42 dua tingkat menara tersebut terdiri daripada 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan.